KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disahkan bakal tiba di Malaysia pada 26 Oktober ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri pada Jumaat lalu dan kehadiran Trump menandakan komitmen Amerika Syarikat terhadap hubungan dua hala serta kerjasama serantau di bawah ASEAN.
“Apa yang telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri pada Jumaat lalu ialah Tuan Yang Terutama Donald Trump akan tiba pada 26 Oktober. Sekiranya ada perubahan, pihak Kementerian Luar akan memaklumkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan sidang kemuncak itu, pada Rabu.
Fahmi turut memaklumkan, sebanyak 34 negara dengan 290 agensi media telah mendaftar untuk membuat liputan bagi sidang kemuncak kali ini, melibatkan 2,854 petugas media dari dalam dan luar negara.
“Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding jangkaan awal. Media rasmi Malaysia mencatat 648 orang, media tempatan 327 orang dan antarabangsa 1,277 orang,” katanya.
Beliau menambah, negara yang menghantar jumlah wartawan tertinggi ialah Jepun dengan 314 orang, diikuti Amerika Syarikat (181), Korea Selatan (101) dan Filipina (68).
“Kehadiran ramai wartawan asing menunjukkan minat global terhadap peranan Malaysia sebagai tuan rumah ASEAN tahun ini,” ujarnya.
Fahmi turut menasihatkan orang ramai supaya peka dengan maklumat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penutupan jalan di sekitar KLCC pada 26 Oktober, bagi melancarkan urusan keselamatan dan pergerakan delegasi antarabangsa.
Baca juga: