WASHINGTON: Krisis Venezuela terus memuncak apabila hasil jualan minyak negara itu menjadi rebutan pelbagai pihak antarabangsa.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan menandatangani satu perintah eksekutif bagi menghalang mahkamah atau syarikat pemiutang daripada merampas dana hasil minyak Venezuela yang kini disimpan dalam akaun perbendaharaan AS.
Menurut kenyataan Rumah Putih, langkah itu bertujuan memastikan wang berkenaan dapat digunakan semula untuk membina kembali Venezuela serta mewujudkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan politik negara tersebut.
Perintah itu ditandatangani hanya beberapa hari selepas tentera AS menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, dalam operasi di Caracas.
Memetik laporan Reuters, hasil minyak Venezuela sebelum ini menjadi sasaran syarikat antarabangsa yang masih menuntut pampasan daripada kerajaan negara itu.
Antara syarikat yang terlibat ialah ExxonMobil dan ConocoPhillips, yang meninggalkan Venezuela hampir dua dekad lalu selepas aset mereka diambil alih kerajaan.
Kedua-duanya masih menuntut bayaran berjumlah berbilion dolar.
Ketua Pegawai Eksekutif ConocoPhillips, Ryan Lance, dalam pertemuan dengan Trump di Rumah Putih menegaskan syarikatnya merupakan pemiutang bukan kerajaan terbesar Venezuela dan berhak menuntut pampasan besar.
Trump bagaimanapun memberi bayangan bahawa AS mahu membuka lembaran baharu dengan Venezuela.
“Kita tidak akan melihat semula apa yang telah hilang pada masa lalu.
“Baik, anggap saja jumlah itu sudah dihapuskan,” kata Trump.
Perintah eksekutif itu tidak menyebut mana-mana syarikat secara khusus, sebaliknya menegaskan bahawa hasil minyak tersebut adalah hak kedaulatan Venezuela dan disimpan di bawah jagaan AS bagi tujuan kerajaan serta diplomatik.
Justeru, ia tidak boleh dituntut oleh pihak swasta.
Rumah Putih menambah, langkah tersebut penting bagi mengelakkan rampasan dana yang boleh menggugat usaha AS dalam menstabilkan semula ekonomi dan politik Venezuela.








