WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah menandatangani satu proklamasi baharu semalam yang mengharamkan kemasukan rakyat dari beberapa negara ke Amerika Syarikat atas faktor keselamatan, lapor CNN.
Sekatan penuh dikenakan terhadap warga 12 negara termasuk Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yemen.
Selain itu, tujuh negara lain – Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela – turut dikenakan sekatan separa.
Namun, pengecualian diberikan kepada pemastautin tetap sah, pemegang visa sedia ada, pemohon visa dalam kategori tertentu, serta individu yang kemasukannya dianggap penting untuk kepentingan nasional AS.
Menurut pegawai White House, keputusan akhir Trump untuk menandatangani perintah itu dibuat selepas insiden serangan anti-Semitik di Boulder, Colorado.
“Presiden Trump menunaikan janji untuk melindungi rakyat Amerika daripada ancaman luar yang berpotensi membahayakan negara,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar White House, Abigail Jackson.
Dalam satu kenyataan video, Trump menegaskan bahawa senarai negara terbabit boleh diperluas dari semasa ke semasa mengikut ancaman semasa.
“Kami tidak akan benarkan sesiapa yang berniat jahat masuk ke negara ini. Keselamatan Amerika adalah keutamaan kami,” katanya.
Proklamasi ini akan mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam, 9 Jun ini (waktu tempatan).
Baca juga: