WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan lanjutan penangguhan serangan terhadap kemudahan tenaga Iran sambil memaklumkan rundingan dengan Tehran masih berlangsung dan menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, penangguhan yang pada awalnya ditetapkan selama lima hari kini dilanjutkan kepada 10 hari sehingga 6 April 2026, susulan permintaan kerajaan Iran.
Dalam kenyataan di platform Truth Social pada Jumaat (waktu Malaysia), Trump berkata tempoh serangan ke atas loji tenaga Iran akan dihentikan sementara bagi memberi ruang kepada proses rundingan.
Terdahulu dalam mesyuarat Kabinet, beliau memberi amaran bahawa Amerika Syarikat akan menjadi “mimpi ngeri paling buruk” kepada Iran sekiranya negara itu enggan menerima pelan damai yang dicadangkan.
Utusan khas AS, Steve Witkoff, turut mengesahkan bahawa Washington telah mengemukakan pelan damai 15 perkara kepada Iran.
Sementara itu, seorang pegawai Iran dilaporkan memberitahu media negara bahawa Tehran mempunyai “hak semula jadi dan sah” untuk mengawal Selat Hormuz.
Dalam perkembangan berkaitan, harga minyak dunia yang sebelum ini meningkat dilaporkan menurun sejurus pengumuman penangguhan tersebut.
Bagaimanapun, ketegangan di rantau itu masih berterusan apabila serangan melibatkan Israel, Iran dan Lubnan terus berlaku.
Di Abu Dhabi pula, dua individu dilaporkan maut akibat serpihan peluru berpandu yang dipintas, dipercayai dilancarkan dari Iran.
Baca juga:








