WASHINGTON: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas sekali lagi diugut oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk segera melucutkan senjata, atau berdepan tindakan ketenteraan dari AS.
“Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan senjata mereka dan ia akan berlaku dengan cepat, mungkin juga secara kekerasan,” katanya.
Memetik Agensi, ugutan itu hadir ketika Washington meningkatkan tekanan terhadap Hamas untuk mematuhi sepenuhnya syarat perjanjian gencatan senjata.
Tegas Trump, bahawa kesabaran AS ada batasnya sekiranya Hamas gagal menyerahkan baki tebusan dan senjata mereka.
Beliau turut menggesa Hamas supaya memulangkan semua mayat tebusan yang masih ditahan di Gaza, sambil menyatakan bahawa sudah tiba masanya untuk memulakan fasa baharu dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dirundingnya baru-baru ini semasa lawatan ke Timur Tengah.
“Semua 20 tebusan telah dikembalikan dan dalam keadaan yang baik setakat yang boleh diharapkan.
“Satu bebanan besar telah diangkat, tetapi tugas belum selesai, yang meninggal dunia belum dikembalikan seperti yang dijanjikan pada fasa dua bermula sekarang,” Trump menulis ciapan itu di platform Truth Social miliknya.
Kenyataan itu dibuat hanya beberapa jam selepas beliau pulang dari lawatan pantas ke Israel dan Mesir, di mana Trump menyifatkan situasi semasa sebagai fajar baharu bagi Asia Barat serta menandatangani satu deklarasi bersama pemimpin rantau itu untuk memperkukuh gencatan senjata di Gaza.
Difahamkan rundingan perjanjian damai itu menyatakan, Hamas membebaskan 20 tebusan yang masih hidup yang ditawan ketika serangan 7 Oktober 2023 beberapa jam sebelum ketibaan Trump di Baitulmaqdis.
Setakat ini, Hamas telah menyerahkan empat mayat tebusan, manakala 24 lagi dilaporkan masih berada di Gaza dan dijangka diserahkan dalam fasa kedua pelaksanaan perjanjian itu.
Baca juga:








