WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif 10 peratus terhadap semua negara anggota BRICS, dalam langkah yang disifatkan ramai sebagai tindak balas terhadap pengaruh blok itu yang semakin berkembang.
“Jika mereka dalam BRICS, mereka akan dikenakan tarif 10 peratus. Dan mereka mungkin tak kekal lama sebagai ahli,” kata Trump dalam mesyuarat Kabinet di White House pada Selasa.
Kenyataan itu mengundang respons segera daripada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, yang menegaskan bahawa negaranya tidak akan tunduk kepada tekanan AS.
“Kami tidak terima sebarang ugutan atau tekanan. Kami tidak setuju dengan cadangan Trump kenakan tarif kepada BRICS,” tegas Lula dalam sidang media.
Sidang kemuncak BRICS tahun ini berlangsung di Rio de Janeiro, diketuai oleh Brazil. Gabungan itu kini dianggotai Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan serta anggota baharu seperti Iran dan Indonesia selepas peluasan tahun lalu.
Trump menuduh BRICS cuba “menjatuhkan dolar AS” sebagai mata wang rizab global dan menganggap kehilangan status itu sebagai ancaman besar kepada AS.
“Kalau mereka main permainan itu, saya juga boleh main. Hilang status rizab dolar ibarat kalah perang – negara ini tidak akan sama lagi,” katanya.
Walaupun tarikh pelaksanaan tarif belum diumumkan, sumber White House memaklumkan ia akan bergantung pada dasar BRICS yang dianggap “anti-Amerika”.
Trump turut mendakwa tanpa bukti bahawa kenyataan bersama pemimpin BRICS baru-baru ini membayangkan percubaan untuk melemahkan kepentingan AS.
Pada Februari lalu, Brazil menarik balik cadangan mewujudkan mata wang bersama BRICS, satu keputusan yang menurut pemerhati sedikit meredakan kebimbangan Washington terhadap ancaman terhadap dominasi dolar.
Baca juga: