WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencetuskan kontroversi baharu apabila mengancam untuk mengusir tokoh teknologi terkenal, Elon Musk, selepas jutawan itu mengkritik rang undang-undang perbelanjaan utama pentadbirannya.
Dalam satu sidang media di Rumah Putih, Trump berkata, beliau “tidak pasti” sama ada tindakan itu akan diambil, namun menambah, “Kita akan lihat dahulu.”
Beliau turut menyindir bahawa Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE), yang pernah diterajui Musk, mungkin akan diarahkan untuk menyiasat subsidi kerajaan yang diterima oleh syarikat-syarikat milik Musk seperti Tesla dan SpaceX.
“DOGE ialah raksasa yang mungkin perlu kembali dan ‘memakan’ Elon,” kata Trump, merujuk kepada agensi itu secara sinis.
Ancaman itu dipercayai berpunca daripada kekecewaan Trump terhadap kritikan terbuka Musk terhadap rang undang-undang “One Big Beautiful Bill”, yang menurut Musk telah menggugurkan peruntukan penting untuk kenderaan elektrik (EV).
Trump mendakwa Musk “kehilangan mandat EV-nya” dan memberi amaran bahawa beliau “mungkin akan kehilangan lebih banyak daripada itu.”.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump turut menyatakan bahawa tanpa subsidi kerajaan, Musk mungkin terpaksa “menutup perniagaannya dan pulang ke Afrika Selatan.”
Hubungan antara kedua-dua tokoh itu, yang dahulunya rapat, kini dilihat semakin renggang.
Musk, yang merupakan penderma utama kempen Trump pada 2024, kini lantang mengkritik dasar Republikan dan mengugut untuk menubuhkan parti politik baharu, “Parti Amerika”, sekiranya rang undang-undang itu diluluskan.