Trump Umum Fasa Kedua Pelan Tamat Perang Gaza

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan pelancaran fasa kedua pelan komprehensif bagi menamatkan perang di Gaza, sekali gus menandakan peralihan daripada sekadar gencatan senjata kepada usaha lebih menyeluruh melibatkan penyahketenteraan, tadbir urus sementara dan pembinaan semula wilayah yang musnah.

Dalam perutusan khas yang dibacakan oleh Steve Wifkoff pada Rabu, beliau berkata, pelan tersebut mengandungi 20 perkara utama yang digariskan sendiri oleh Trump.

Fasa baharu itu akan menyaksikan penubuhan sebuah pentadbiran peralihan bagi mentadbir Gaza sepanjang tempoh pemulihan, selain pelaksanaan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari wilayah berkenaan.

Wifkoff turut menegaskan bahawa Amerika Syarikat menjangkakan Hamas akan mematuhi sepenuhnya syarat yang ditetapkan termasuk pemulangan segera baki tebusan yang telah meninggal dunia.

Katanya, kegagalan untuk berbuat demikian akan membawa tindakan serta akibat yang serius.

Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan Gaza melaporkan bahawa Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata tajaan AS lebih 1,190 kali sejak ia berkuat kuasa pada Oktober lalu.

Pelanggaran tersebut didakwa menyebabkan lebih 400 rakyat Palestin terbunuh, selain sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan penting ke wilayah berkenaan.

Anda Mungkin Berminat