WASHINGTON: Dunia dikejutkan dengan pengumuman terbaharu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menetapkan tarif sebanyak 50 peratus ke atas import tembaga, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan di platform media sosial miliknya, Truth Social, dengan alasan bahawa langkah tersebut penting demi keselamatan dan kepentingan industri pertahanan negara.
“Saya mengumumkan tarif 50 peratus ke atas Tembaga, berkuat kuasa 1 Ogos 2025, selepas menerima penilaian keselamatan negara yang komprehensif,” tulis beliau.
Trump berkata, tembaga merupakan bahan kritikal dalam pelbagai sektor strategik seperti semikonduktor, pesawat, kapal, pusat data, sistem radar, pertahanan peluru berpandu dan senjata hipersonik yang kini sedang giat dibangunkan oleh Amerika Syarikat.
Tambah beliau, tembaga juga merupakan bahan kedua paling banyak digunakan oleh Jabatan Pertahanan AS.
Susulan pengumuman itu, harga tembaga melonjak sebanyak 2.62 peratus.
Namun begitu, harga niaga hadapan tembaga bagi kontrak tiga bulan di Bursa Logam London (LME) mencatatkan penurunan 1.63 peratus kepada AS$9,630.50 satu tan metrik.
Untuk rekod, tembaga merupakan logam ketiga paling banyak digunakan di dunia selepas besi dan aluminium.
Data dari Kajian Geologi AS menunjukkan bahawa hampir 50 peratus daripada bekalan tembaga negara itu diimport dengan Chile sebagai pembekal utama.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick, dalam temu bual bersama CNBC pada Selasa, menyatakan bahawa pentadbiran Trump berhasrat untuk mengembalikan pengeluaran tembaga ke dalam negara.
Langkah tarif ini, katanya, sejajar dengan dasar terdahulu yang menggandakan cukai ke atas import keluli dan aluminium kepada 50 peratus pada awal Jun lalu.
Namun begitu, pakar industri memberi amaran bahawa usaha meningkatkan pengeluaran domestik akan mengambil masa yang panjang dan memerlukan pelaburan besar.