Trump Umum Tindakan Segera Selepas Keputusan Mahkamah Agung

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump mengeluarkan kenyataan lantang berhubung keputusan terbaharu Mahkamah Agung yang menyentuh kuasa Presiden dalam mengenakan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).

Trump menyifatkan keputusan itu sebagai ‘tidak masuk akal’ kerana beliau tidak dibenarkan mengenakan bayaran walaupun sekadar satu dolar kepada mana-mana negara tetapi masih mempunyai kuasa penuh untuk memutuskan perdagangan atau mengenakan embargo.

“Mereka (Mahkamah Agung) mengatakan saya mempunyai hak mutlak untuk melesenkan tetapi tidak berhak mengenakan bayaran lesen.

“Lesen apa yang pernah dikeluarkan tanpa hak untuk mengenakan bayaran? Tetapi kini mahkamah telah memberikan saya hak yang tidak dipersoalkan untuk mengharamkan pelbagai perkara daripada masuk ke negara kita, satu kuasa yang jauh lebih besar daripada yang disangka ramai,” kata Trump.

Beliau turut memetik pandangan Hakim Brett Kavanaugh dalam ‘dissenting opinion’.

“Walaupun saya tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah hari ini, keputusan itu mungkin tidak banyak menyekat kemampuan seorang Presiden untuk mengarahkan tarif pada masa hadapan.

“Ini kerana banyak lagi undang-undang persekutuan lain memberi kuasa kepada Presiden untuk mengenakan tarif termasuk Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (Seksyen 232), Akta Perdagangan 1974 (Seksyen 122, 201dan 301) serta Akta Tarif 1930 (Seksyen 338),” katanya.

Trump berkata, keputusan tersebut sebenarnya mengukuhkan kuasa Presiden untuk mengawal perdagangan dan mengenakan tarif, bukan melemahkannya.

“Berkuat kuasa serta-merta, semua Tarif Keselamatan Negara Seksyen 232 dan tarif sedia ada di bawah Seksyen 301 kekal berkuat kuasa.

“Hari ini saya akan menandatangani Perintah untuk mengenakan 10 peratus Tarif Global di bawah Seksyen 122, tambahan kepada tarif biasa yang sudah dikenakan.

“Kami juga memulakan beberapa siasatan di bawah Seksyen 301 dan lain-lain bagi melindungi negara daripada amalan perdagangan tidak adil,” katanya lagi.

Anda Mungkin Berminat