PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyeru pihak berkuasa agama negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar mengikut Enakmen Syariah negeri.
Baginda menekankan kepentingan memantau dan menyebarkan maklumat mengenai individu atau kumpulan yang menyebarkan ajaran sesat kepada masyarakat bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.
“Beta juga menyeru kepada rakyat beragama Islam agar lebih berhati-hati dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengikut sebarang pengajian ilmu agama.
“Ini penting untuk mengelakkan kita daripada mengikut ajaran yang salah dan mempunyai agenda terselindung di sebalik perkataan Islam,” titah baginda.
Tuanku Muhriz turut menegaskan kepentingan memastikan ajaran yang diterima adalah sahih dan berlandaskan prinsip-prinsip Islam yang benar.
Seruan baginda itu bertujuan untuk menjaga keharmonian serta kepercayaan masyarakat terhadap ajaran agama yang betul.