TUDM: 20 pegawai terlibat aktiviti tidak bermoral akan diadili dan dibicara

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Seramai 20 anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) yang terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral di salah sebuah mes kem berdepan tindakan tatatertib.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhammad Nurazlan Aris berkata, TUDM akan memastikan setiap pelaku yang terlibat akan diadili dan dibicara mengikut peruntukan perundangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Siasatan awal mendapati seramai 20 orang Pegawai TUDM yang telah terlibat secara langsung di dalam aktiviti tidak bermoral ini. TUDM akan memastikan pelaku dibicara dan diadili menurut lunas dan peruntukan Perundangan ATM,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhammad Nurazlan turut menegaskan bahawa, budaya yang tidak sihat itu bukanlah amalan bagi TUDM.

Justeru katanya, TUDM kini memandang serius sebarang pelanggaran terhadap perintah, direktif, peraturan malah tindakan tegas turut akan diambil tanpa kompromi.

“Pucuk pimpinan TUDM menzahirkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku dan pihak yang gagal melaksanakan arahan juga akan diambil tindakan sewajarnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera berhubung dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam kem tentera yang tular di media sosial pada baru-baru ini.

Terdahulu, wujud dakwaan mengenai budaya tidak sihat yang diamalkan segelintir pegawai ‘seragam loreng’ di mes kem tentera.

Budaya tersebut dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa, pergaulan tidak bermoral serta amalan yang bercanggah dengan etika perkhidmatan.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan menegaskan pihaknya memandang serius isu berkenaan dan menolak sebarang perlakuan yang bercanggah dengan nilai serta budaya ATM.

“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” katanya.

Kementerian turut menekankan bahawa dakwaan tersebut sama sekali tidak mencerminkan disiplin, profesionalisme dan pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan yang menjadi teras ATM.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat