PETALING JAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggantung sementara operasi penerbangan F/A-18D Hornet selepas kemalangan membabitkan pesawat model itu di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, berkata satu lembaga penyiasat telah ditubuhkan untuk mengenal pasti punca insiden. Lembaga itu dianggotai pegawai kanan TUDM dan siasatan rasmi bermula hari ini.
“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan.
Menjawab spekulasi mengenai kemungkinan ‘bird strike’ atau serangan burung, Muhamad Norazlan berkata, punca sebenar belum dapat disahkan.
“Saya sudah meneliti video tular kejadian dan tidak dapat memastikan sama ada serangan burung atau bahan asing menyebabkan pesawat terhempas. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan. Pesawat yang digunakan sejak 1997 itu rosak sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mengesahkan dua pegawai TUDM yang terbabit dalam kejadian itu merupakan juruterbang berpengalaman.
Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, bertindak sebagai juruterbang manakala Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, bertugas sebagai jurusensor pesawat. Kedua-duanya dari 18 Skuadron Butterworth, Pulau Pinang, yang ditempatkan sementara di Pangkalan Udara Kuantan sejak Jun lalu.
“Pada masa kejadian, pesawat sedang menjalani latihan penerbangan malam. Insiden berlaku kira-kira jam 9:05 malam ketika pesawat hendak berlepas di landasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah,” tambahnya.
Baca juga: