TUDM Laksana Demonstrasi Tempur Di Pantai Hiburan Rompin

ROMPIN: Pantai Hiburan, Rompin Pahang menjadi medan aksi taktikal apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan latihan demonstrasi tempur melibatkan pesawat pejuang, helikopter dan Pasukan Khas Udara (PASKAU) bermula 22 hingga 25 Oktober ini.

Demonstrasi itu diadakan sempena Upacara Pengurniaan Beret Biru PASKAU dan Majlis Penutup Kursus Komando TUDM yang dijadual berlangsung pada 26 Oktober (Ahad).

TUDM dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, acara berprestij itu akan disaksikan oleh tetamu kenamaan, keluarga anggota yang menamatkan latihan, serta masyarakat setempat.

Dalam demonstrasi tersebut, TUDM akan mempamerkan keupayaan dan kesiagaan aset-aset udara serta kemahiran taktikal anggota PASKAU dalam melaksanakan serangan ke atas kawasan musuh dan operasi menyelamatkan tebusan.

Sehubungan itu, TUDM menasihatkan orang awam di sekitar Daerah Rompin agar tidak panik sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah atau terdengar bunyi letupan sepanjang tempoh latihan.

“Justeru itu, orang awam terutamanya disekitar Daerah Rompin dinasihatkan agar tidak panik dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah serta terdengar bunyi letupan,” kata kenyataan itu.

TUDM turut mengingatkan pengunjung yang hadir dan meletakkan kenderaan di sekitar Pantai Hiburan agar membuka sedikit cermin tingkap kenderaan masing-masing sebagai langkah keselamatan.

“TUDM juga ingin memaklumkan kepada orang awam yang hadir dan parkir kenderaan di sekitar Pantai Hiburan pada tarikh tersebut agar dapat membuka sedikit cermin tingkap kenderaan bagi tujuan keselamatan dan menggelakkan sebarang kejadian tidak diigini berlaku akibat impak kepada bunyi letupan semasa demonstrasi dilaksanakan,” katanya.

Demonstrasi itu bukan sahaja menandakan tamatnya latihan intensif komando TUDM tetapi juga menjadi simbol penghargaan terhadap semangat dan pengorbanan anggota yang bersedia mempertahankan negara dalam apa jua keadaan.

Anda Mungkin Berminat