JAKARTA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus membuktikan keupayaan inovatifnya di pentas antarabangsa apabila meraih satu pingat emas, satu gangsa dan satu Anugerah Khas Antarabangsa pada Indonesia Inventors Day (IID) 2025 yang berlangsung di Smesco Exhibition Hall, Jakarta.
Kejayaan gemilang itu disumbangkan oleh dua produk berasaskan kecerdasan buatan (AI) ciptaan warga TUDM sendiri iaitu sistem pintar penghalau burung BIRDIE (Bird Deterrent) dan sistem pengurusan senggaraan radar S-RAM (Smart Radar Alarm).
Produk BIRDIE yang diketuai oleh Mej Ir Muhammad Waliyuddin Che Azmi TUDM berjaya merangkul pingat emas, manakala S-RAM di bawah pimpinan Kapt Mohammad Izwan Mat Nayan TUDM menerima pingat gangsa serta pengiktirafan khas daripada Perancis.
Menurut hantaran di Facebook TUDM, pencapaian itu turut disokong oleh komuniti inovasi antarabangsa termasuk Korea Selatan, Taiwan dan sebuah syarikat teknologi dari Hong Kong.
“Kejayaan ini bukan sekadar mengharumkan nama TUDM, malah membuktikan kemampuan warga kami menghasilkan inovasi yang praktikal untuk operasi pertahanan.
“IID 2025 juga membuka ruang kepada pegawai TUDM menimba pengalaman dan berkongsi idea dengan peserta antarabangsa,” katanya.
TUDM menyifatkan kemenangan itu sebagai pemangkin semangat untuk terus melahirkan lebih banyak inovasi baharu, demi memperkukuh kesiapsiagaan dan keyakinan rakyat terhadap keupayaan pertahanan negara.








