Tuduhan niat buruk, AMK kecam fitnah terhadap PM

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam dakwaan tidak berasas dalam video berbahasa Thailand yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengintip Amerika Syarikat susulan peranan beliau sebagai fasilitator rundingan damai antara Kemboja dan Thailand.

Ketua Biro Hubungan Antarabangsa AMK, Arief Jefferi, menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah melampau yang sengaja mencemar imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah fitnah yang cuba mengaibkan PM dan Malaysia di arena antarabangsa serta berniat buruk memecahbelahkan kesepaduan negara-negara ASEAN,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Beliau menegaskan Malaysia komited terhadap diplomasi serantau yang memupuk keamanan dan keharmonian antara negara ASEAN.

“Maruah negara dan semangat kerjasama serantau adalah perkara yang tidak boleh kita kompromi,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, sendiri mengiktiraf peranan Anwar sebagai fasilitator dalam rundingan damai berkenaan.

Kementerian Luar dilapor memantau isu berkenaan dan menasihatkan agar rakyat tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh menjejaskan hubungan baik antara negara ASEAN.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat