Tuduhan TH Diurus Orang Cina, Menteri Buat Laporan Polis

PARLIMEN | Kerajaan telah mengambil tindakan tegas terhadap beberapa kandungan video yang memberi imej buruk kepada Lembaga Tabung Haji (LTH) termasuk membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Rabu, beliau memaklumkan bahawa pihaknya menyedari kewujudan video di media sosial yang mengajak umat Islam mengeluarkan kesemua simpanan mereka daripada Tabung Haji.

“Ada yang mengajak umat Islam di Malaysia ini untuk keluar daripada simpanan ataupun keluar daripada tabung haji.

“Hasutan-hasutan sebegini tidak memberikan manfaat ataupun kebaikan kepada usaha untuk kita mempertahankan Tabung Haji ini.

“Maka dalam konteks itulah di pihak kerajaan kita sedang meneliti dan juga tindakan telah diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa, berhubung penularan video yang mendakwa Tabung Haji kini dikawal oleh individu daripada kaum Cina.

Na’im berkata, kerajaan sentiasa komited memastikan peranan dan tanggungjawab Tabung Haji dijalankan dengan baik demi kepentingan umat Islam di negara ini.

“Jadi sudah tentu menjadi tanggungjawab kita semua khususnya kalangan umat Islam untuk menjaga dan memastikan peranan serta tanggungjawab Tabung Haji dapat dijalankan dengan baik,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Tabung Haji diasaskan oleh Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz dengan tujuan murni untuk membantu umat Islam menabung bagi menunaikan ibadah haji dan institusi itu perlu dipertahankan daripada sebarang cubaan menggugat kepercayaannya.

Menurutnya, sebagai langkah proaktif, Tabung Haji bersama agensi agama seperti TV Al-Hijrah dan IKIM akan mempergiatkan kempen penjelasan kepada masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakyah yang tidak berasas.

“Semoga dengan penjelasan yang diberikan, kita harapkan agar semua dapat bekerjasama, menolong dan membantu mempertahankan Tabung Haji yang kita sayangi ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat