PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan dakwaan Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kononnya beliau berbohong di Parlimen berhubung isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru.
Dr Zaliha menegaskan segala kenyataan yang dibuat dalam sesi penerangan di Dewan Rakyat pada 9 Oktober lalu adalah berdasarkan dokumen rasmi kerajaan yang direkodkan.
“Tuduhan yang dilemparkan adalah satu fitnah serius yang mencalar reputasi saya sebagai Menteri, malah percubaan merendahkan integriti Parlimen itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut mencabar Annuar untuk mengemukakan bukti sekiranya mendakwa terdapat pemesongan fakta dalam pembentangan tersebut.
“Integriti Dewan Rakyat tidak boleh dipermainkan dengan tuduhan yang tidak bersandarkan asas,” katanya.

Tegasnya, fokus kerajaan kini adalah memastikan penduduk Kampung Sungai Baru yang bersetuju untuk kembali ke kawasan itu dapat berbuat demikian dan menerima hak sewajarnya di bawah pelan pembangunan baharu.
Terdahulu laporan media tempatan mendapati, bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menuduh Dr Zaliha melakukan penyelewengan fakta apabila mendakwa pewartaan pengambilan tanah Kampung Sungai Baru pada 2021 dibuat secara tergesa-gesa dalam tempoh tiga hari.
Annuar turut mengeluarkan notis menjemput Dr Zaliha hadir ke Podcast Muafakat atau Sidang Pasca Kabinet bagi mengulangi kenyataannya secara bersemuka, serta memberi tempoh tiga hari untuk menjawab sebelum mempertimbangkan tindakan undang-undang.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Zaliha mendedahkan keputusan pewartaan tanah Kampung Sungai Baru dibuat dalam masa singkat pada 2021 selepas permohonan pengambilan dikemukakan pemaju kepada Kementerian Wilayah Persekutuan ketika itu.
Baca juga:








