KUALA TERENGGANU: Terengganu dipilih sebagai negeri perintis pelaksanaan program Tuisyen MADANI susulan pencapaian cemerlang pelajar negeri itu dalam peperiksaan awam, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya hargai prestasi pelajar Terengganu yang cemerlang, sebab itu saya umumkan Tuisyen MADANI dimulakan di sini sebagai bantuan khas untuk pelajar sekolah,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu di Pasar Kedai Payang, hari ini.
Program tuisyen itu akan melibatkan guru sekolah dan diselia terus oleh kementerian serta ketua setiausaha kementerian berkaitan.
Ia juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pembasmian kemiskinan pendidikan di bawah Kerajaan Perpaduan.
Anwar berkata, pelaksanaan program itu adalah tambahan kepada bantuan RM100 yang telah disalurkan kepada pelajar dan guru bagi pembelian buku serta bahan bacaan.
Beliau turut mengumumkan cadangan peluasan program berkenaan ke Kelantan dalam fasa seterusnya.
Dalam pada itu, kerajaan juga meluluskan pembinaan kolej matrikulasi baharu di Marang serta perolehan tanah bagi pembinaan kampus baharu Politeknik Kuala Terengganu.
Seramai 10 pelajar cemerlang SPM 2024 turut menerima sumbangan peranti MADANI (PERMAI) dalam majlis berkenaan.
Sementara itu, sejumlah RM30 juta diperuntukkan kepada Terengganu menerusi Program SejaTi MADANI untuk merancakkan aktiviti ekonomi komuniti di peringkat kampung.
“Setiap kampung diberi dana dan diberi kuasa untuk putuskan sendiri jenis aktiviti ekonomi yang mahu dilaksanakan. Kita mahu beri kuasa dan keupayaan kepada rakyat untuk jana pendapatan,” katanya.
Program SejaTi MADANI memberi tumpuan kepada lima sektor utama: pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
PMR 2025 Terengganu mencatat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 82,000 pengunjung setakat tengah hari tadi, melepasi sasaran awal 25,000 pengunjung untuk program selama tiga hari.
Baca juga: