Tujuh Menteri, Lapan Timbalan Menteri Selesai Angkat Sumpah Di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Istana Negara pagi ini menyaksikan rombakan kabinet apabila tujuh menteri termasuk dua muka baharu serta lapan timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung penuh adat di Singgahsana Kecil pada pukul 10 pagi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan majlis berkenaan.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelantikan menteri baharu serta pertukaran beberapa portfolio, berikutan kekosongan dalam kabinet dan keperluan untuk membuat penyesuaian bagi memperkukuh pentadbiran kerajaan.

Majlis bermula dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia, sebelum disusuli dengan penandatanganan dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Antara yang mengangkat sumpah ialah Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang kini memegang jawatan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri R Ramanan sebagai Menteri Sumber Manusia serta Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang dilantik sebagai Menteri Ekonomi.

Dua muka baharu turut diperkenalkan iaitu Datuk Mustapha Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dan Dr Mohammed Taufiq Johari sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Dr Zulkifli Hasan pula dinaikkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selepas sebelum ini berkhidmat sebagai timbalan menteri bagi portfolio sama.

Selain itu, lapan timbalan menteri baharu turut mengangkat sumpah jawatan.

Mereka ialah Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi, R Yuneswaran sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Mordi Bimol sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Syed Ibrahim Syed Noh sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Chiew Choon Man sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Lo Su Fui sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) serta Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Istiadat penuh berprestij itu diakhiri dengan sesi bergambar barisan menteri dan timbalan menteri baharu bersama Sultan Ibrahim sebelum mereka meninggalkan Istana Negara pada pukul 10.45 pagi.

Anda Mungkin Berminat