Tujuh Pemancing Diselamat Selepas Bot Karam di Perairan Tanjung Po

KUCHING: Tujuh pemancing nyaris maut apabila bot yang mereka naiki karam di perairan utara Tanjung Po, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, insiden tersebut dilaporkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching pada pukul 4:45 petang oleh Lembaga Pelabuhan Kuching selepas menerima isyarat awal melalui radio daripada kapal dagang MTT Lumut pada pukul 4:23 petang.

“Sebuah bot pancing dilaporkan karam kira-kira 10 batu nautika dari utara Tanjung Po.

“Kesemua tujuh pemancing yang berada di atas bot tersebut berjaya diselamatkan oleh kapal MTT Rajang yang kebetulan berada berhampiran lokasi kejadian,” jelas beliau.

Sejurus menerima maklumat, Maritim Malaysia Negeri Sarawak mengatur gerak Bot KILAT 35 ke lokasi pertemuan dengan MTT Rajang untuk mengambil kesemua mangsa dan membawa mereka ke daratan.

Kesemua mangsa tiba selamat di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) pada pukul 7:08 malam.

Khairi turut mengingatkan bahawa insiden ini menjadi peringatan kepada komuniti maritim khususnya nelayan dan pemancing, agar tidak mengabaikan aspek keselamatan ketika turun ke laut.

“Pemakaian jaket keselamatan, pemeriksaan bot sebelum berlayar dan pemantauan keadaan cuaca adalah langkah asas yang wajib diutamakan. Nyawa tidak boleh diganti,” tegas beliau.

Beliau turut menasihati orang ramai agar segera melaporkan sebarang kecemasan atau kejadian yang mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 bagi memastikan tindakan segera dapat diambil.

Anda Mungkin Berminat