Tujuh positif dadah dalam Operasi Khas Bersepadu kenderaan berat dan perdagangan

KLUANG: Tujuh lelaki ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dan syabu dalam Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Berat dan Perdagangan di sekitar bandar Kluang dan Pekan Machap, bermula 26 hingga 27 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kesemua individu ditahan selepas ujian saringan air kencing dijalankan terhadap 34 individu ketika operasi.

“Mereka merupakan warga tempatan berusia 30 hingga 41 tahun.

“Dua daripada mereka juga ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu yang mana anggaran berat 0.30 gram dan 0.20 gram.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala dua lagi yang memiliki dadah turut disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sepanjang dua hari operasi itu, seramai 102 individu dengan 93 buah kenderaan diperiksa dan sebanyak 22 keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Tambahnya, operasi itu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di kawasan tersebut.

“Operasi ini akan kerap dijalankan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin dan tidak berlaku sebarang kecelakaan yang tidak diingini,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat