Tujuh Termasuk Empat Kanak-Kanak Maut Dalam Tanah Runtuh Di Kampung Cenderakasih

KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi Kampung Cenderakasih, Kolombong apabila kejadian tanah runtuh meragut tujuh nyawa termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun.

Kejadian berlaku sekitar pukul 9.15 pagi, ketika kesemua mangsa dipercayai berada di dalam sebuah rumah yang terletak di lereng bukit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, rumah tersebut dihuni sembilan orang, manakala dua lagi ahli keluarga datang menumpang tidur.

“Empat lelaki berjaya diselamatkan, salah seorang daripadanya mengalami kecederaan patah kaki.

“Semua mayat mangsa ditemukan antara 12.30 tengah hari hingga yang terakhir pada 3.45 petang, sekali gus operasi mencari dan penyelamat ditamatkan,” katanya.

Katanya, pasukan penyelamat menghadapi cabaran besar apabila mangsa tertimbus sedalam dua hingga tiga meter, ditambah dengan timbunan sampah sarap dan pokok tumbang.

Tambah beliau, jentera berat digunakan untuk mengasingkan runtuhan, manakala anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggali dengan tangan untuk mengeluarkan mangsa.

Kasim turut memaklumkan bahawa kawasan kejadian merupakan tanah persendirian yang didiami secara tidak rasmi.

“Pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan agar penduduk di kawasan berisiko tinggi segera berpindah bagi mengelakkan tragedi berulang.

“Kita tidak mahu kehilangan nyawa lagi seperti yang berlaku hari ini. Dengar nasihat pihak berkuasa untuk keselamatan semua,” tambahnya.

Susulan insiden ini, Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan membatalkan acara rasmi sempena sambutan Hari Malaysia dan menumpukan sepenuhnya kepada usaha bantuan dan pemulihan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keutamaan kerajaan adalah menyelaras operasi menyelamat dan memastikan keselamatan komuniti terjejas.

“Keutamaan segera ialah mengurus krisis ini, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dijalankan tepat pada masanya,” katanya.

Dalam tempoh seminggu, Jabatan Kerja Raya Sabah merekodkan 89 insiden berkaitan cuaca ekstrem termasuk 42 tanah runtuh, 18 banjir kilat dan 10 jalan runtuh.

Anda Mungkin Berminat