PETALING JAYA: Cadangan individu supaya nama Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ditukar kepada nama baharu yang lebih moden sedikit sebanyak akan menghilangkan identiti dan asal-usul yang telah dikenali selama ini.
Dr Muhammad Faiz Na’aman yang juga bekas pemimpin BERSATU berkata, walaupun setiap rakyat berhak menyuarakan pandangan mengenai hal ehwal nasional termasuk penjenamaan semula mana-mana entiti awam, namun sebarang cadangan perlulah bebas daripada unsur provokasi atau sentimen sensitif.
“KTMB dilihat dalam dua lensa berbeza oleh masyarakat. Ada yang menganggapnya sebagai syarikat swasta yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan, dan ada juga yang melihatnya sebagai simbol warisan berkait sejarah negara.
“Ia bukan sekadar syarikat swasta, ia bukan sekadar entiti bisnes malah ia juga terkait dengan nilai sejarah dan warisan negara kerana nama dia itu ada tanah Melayu yang mana itu nama asal Semenanjung kita.
“Jika penjenamaan semula ini berlaku atas apa sebab sekalipun, dia akan menghilangkan identiti dan asal-usul yang kita pernah kenali selama ini,” katanya kepada Malaysia Bangkit pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat cadangan daripada seorang individu supaya nama KTMB diubah bagi menyesuaikan dengan perkembangan semasa.
Individu berkenaan berpendapat nama Keretapi Tanah Melayu sudah tidak lagi relevan kerana tren masa kini digerakkan menggunakan elektrik dan istilah Tanah Melayu merujuk kepada Malaya, bukan Malaysia.
Bagaimanapun, KTMB dalam kenyataan balas menegaskan a tiada keperluan untuk menukar nama syarikat itu, sambil menekankan bahawa nama sedia ada membawa nilai sejarah dan warisan serta merupakan identiti korporat yang masih relevan dan tidak menjejaskan usaha pemodenan perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Dr. Faiz menjelaskan bahawa nama sesebuah syarikat tidak semestinya perlu mencerminkan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Beliau memetik contoh syarikat global seperti Apple, yang namanya tidak langsung berkaitan dengan produk teknologi yang dijual.
“Adakah Apple perlu tukar nama sebab mereka tidak jual buah? Tidak. Nama itu hanya satu jenama. Yang penting adalah nilai perkhidmatan atau produk yang ditawarkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa walaupun nama ditukar, masyarakat masih cenderung menggunakan nama lama yang sudah sebati.
“Begitu juga KTMB. Walaupun namanya ditukar, orang masih akan sebut ‘kereta api KTMB’ kerana itulah yang mereka kenali sejak dahulu,” tambah beliau.
Baca juga: