Tular perkahwinan rentas negara: Gadis Indonesia bersama Lelaki Sudan

Oleh: Tyah Helmi

SULAWESI: Tular sebuah cinta rentas negara apabila warga maya dikejutkan dengan perkahwinan seorang gadis dari Luwu, Sulawesi, Indonesia bersama lelaki warganegara Sudan di media sosial pada baru-baru ini.

Memetik Portal Berita Indonesia, Kompas.Com, pasangan yang dikenali Alifah Alidain Nur, 29 menjadi isteri kepada Malik Maluil Jok, 32 di sebuah majlis akad nikah yang berlangsung pada Sabtu, 20 Disember yang lalu.

Difahamkan, majlis mereka yang penuh dengan budaya dan adat Tana Luwu disematkan bersama elemen Islam dan sentuhan budaya Afrika telah diadakan di Dusun Salumakarra, Kelurahan Noling, Kecamatan Bua Ponrang (Bupon), Kabupaten Luwu, Indonesia.

Alifah dilihat anggun menyarungkan busana tradisional Tana Luwu yang bernuansa Islami, manakala suaminya Malik tampil kemas dengan pakaian formal bercirikan budaya Sudan.

Majlis perkahwinan mereka menjadi tumpuan penuh oleh penduduk sekitar malah disaksikan oleh seluruh kaum kerabat mereka yang meluahkan rasa bangga kerana perkahwinan lintas negara itu berjaya membawa nama lokal mereka iaitu Dusun Salumakarra di seantero dunia.

Dalam pada itu, Ketua Pejabat Hal Ehwal Agama (KUA) Kecamatan Bupon, Arifing memaklumkan bahawa perkahwinan pasangan sejoli itu telah melalui seluruh proses yang ditetapkan buat pernikahan antara warganegara Indonesia dan warganegara asing.

“Pada 6 Oktober 2025, keluarga pihak perempuan menghubungi saya dan memaklumkan hasrat untuk menikah dengan warga asing. Selepas itu, semua dokumen dan keperluan disemak sehingga lengkap,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Kata beliau, perkahwinan itu telah didaftarkan secara sah malah mematuhi prosedur sedia ada, sekali gus menjawab persoalan ramai yang tampil mempersoalkan tentang status pernikahan pasangan itu.

Bagaimanapun, netizen lebih memperkatakan perbezaan ketinggian pasangan tersebut berbanding perbezaan budaya kedua-duanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat