TINGGAL beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut Aidilfitri, pastinya semua orang sibuk menukar duit raya bagi persiapan raya nanti.
Namun, ada pula pihak yang mengambil kesempatan, menggunakan wang kertas baharu dalam jumlah besar sebelum menawarkan servis tukar duit raya berbayar kepada orang ramai.
Seorang pengguna platform Threads, @matchastrawberry05, mendedahkan pengalamannya di sebuah cawangan Bank Islam Malaysia Berhad di Kubang Kerian, yang dikatakan tidak menyediakan perkhidmatan tukar duit raya.
“Pergi Bank Islam Kubang Kerian dorang cakap tak buat tukar duit raya. Aku macam pelik, biar betul bank tak boleh tukar duit raya. Lepas tu buka Facebook nampak orang share post.
“Sakitnya hati kita pergi satu-satu bank nak tukar, dia senang-senang dapat duit berkotak-kotak siap buat bisnes lagi tu,” tulisnya.
Menurut pengguna itu, hantaran yang dikongsikan di Facebook menawarkan perkhidmatan tukar duit raya 2026. Wang kertas baharu disediakan dalam denominasi RM1, RM5 dan RM10, dan bayaran tambahan atau “upah” RM10 bagi setiap RM100 yang ditukarkan.
Individu yang menawarkan servis itu dikatakan seorang pegawai bank yang mengambil kesempatan, menggunakan akses untuk mendapatkan wang kertas baharu dalam jumlah besar, sebelum menawarkan servis berbayar kepada orang ramai.
Dalam iklan tersebut, dinyatakan tiada had tukaran selagi stok masih ada, dan caj dikenakan bagi mengelakkan unsur riba.
Perkongsian itu mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan netizen yang mempersoalkan sama ada amalan ini sah dari segi undang-undang, lebih-lebih lagi jika wang kertas baharu diperoleh daripada bank dalam jumlah besar.
Seorang pengguna turut meluahkan perkara sama, yang tahun ini merasa susah untuk mendapatkan duit raya baharu daripada bank.
“Sakit hati betul tengok benda macam ni. Tahun ni memang paling teruk kartel duit raya. Sebelum-sebelum ni, rasa seronok dapat RM100-RM200 duit baharu dari bank, tapi tahun ni nak dapat RM100 pun rasa macam minta sedekah. Duit yang dapat pun duit kitar semula, siap takde sampul lagi!” Tulisnya.
Setakat ini, pihak Bank Negara Malaysia masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tular ini, namun ramai dalam kalangan netizen menyeru supaya perkara ini diberi perhatian dan tindakan sewajarnya diambil.
Baca juga:








