Tumpuan Pembentangan RMK13 Oleh PM Hari Ini

PARLIMEN | Seluruh negara hari ini menumpukan perhatian kepada persidangan Dewan Rakyat yang bakal menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rancangan lima tahun itu akan menjadi teras pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan RMK13 pada pukul 12 tengah hari, selepas sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan soal jawab lisan yang bermula pada pukul 10 pagi.

Selepas pembentangan tersebut, persidangan akan ditangguhkan buat sementara waktu, sebelum perbahasan RMK13 bermula Isnin depan selama lapan hari, diikuti sesi penggulungan oleh menteri-menteri selama empat hari bermula 18 Ogos.

Dalam satu hantaran di Facebook semalam, Perdana Menteri menyatakan bahawa RMK13 bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan matlamat utama memastikan kemajuan negara berlaku secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan rakyat.

Menurut beliau, penyediaan pelan itu turut melibatkan sesi libat urus menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kerajaan negeri bagi memastikan suara rakyat menjadi asas utama hala tuju negara.

Pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, hari ini, beberapa isu kebajikan rakyat turut menjadi tumpuan, antaranya mengenai proses pendaftaran dan syarat kelayakan bagi individu yang ingin menerima bantuan tunai RM100 melalui inisiatif SARA.

Antara lain ialah kadar penempatan graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) serta kriteria pemilihan yang digunakan dan jumlah penerima dana penyelenggaraan RM50 juta bagi tahun 2024 dan 2025 termasuk jenis rumah ibadat bukan Islam yang menerima manfaat itu, mengikut negeri.

Untuk makluman, persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung selama 24 hari sehingga 28 Ogos depan.

Anda Mungkin Berminat