KOTA KINABALU: Sabah berkabung atas pemergian bekas Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir pada 8.45 malam Selasa di Hospital KPJ Kota Kinabalu di sisi ahli keluarga.
Pengumuman sedih itu disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong yang turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dengan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan kepada allahyarham.
Tun Ahmadshah Abdullah dikenang sebagai pemimpin yang berdedikasi dan pernah menyandang jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah kesembilan dari 1995 hingga 2002.
Di bawah kepimpinannya, Sabah melalui pelbagai perkembangan yang mencerminkan kebijaksanaan dan ketokohan beliau dalam membimbing negeri ke arah kemajuan.
Para pemimpin negeri dan rakyat Sabah turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian beliau bagi mengingati jasa dan sumbangan allahyarham dalam membangun negeri.
Majlis penghormatan terakhir dan pengurusan jenazah dijangka berlangsung pada hari ini dengan kehadiran pemimpin serta orang kenamaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.