Tun Faisal Sindir Wan Saiful: Kalau Tak Sesuai, Keluar Parti

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menempelak bekas ahli Majlis Tertinggi parti itu, Wan Saiful Wan Jan, kerana terus mengeluarkan kenyataan menyerang parti selepas dipecat, baru-baru ini.

Menurutnya, Wan Saiful sepatutnya mengambil masa untuk bermuhasabah dan menginsafi ‘pengkhianatan’ yang dilakukan terhadap parti, bukan menimbulkan tuduhan yang tidak benar.

“Lembaga Disiplin telah memecat beliau. Sepatutnya beliau bermuhasabah dan insaf atas setiap kesalahan dan pengkhianatan yang telah dilakukan.

“Sebaiknya dia fokus kepada membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan,” katannya lapor FMT.

Tun Faisal turut menyarankan agar Wan Saiful mencari platform politik lain sekiranya Bersatu tidak lagi sesuai dengannya.

“Kalau parti tidak lagi menerimanya kerana pelanggaran perlembagaan dan peraturan, lebih baik beliau berpindah ke parti lain,” tambahnya.

Pada 14 Okt lalu, Bersatu menggantung keahlian Ahli Majlis Tertinggi Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta memecat Wan Saiful dan empat ketua bahagian.

Tindakan itu dikaitkan dengan dakwaan penglibatan mereka dalam gerakan akuan berkanun (SD) yang bertujuan menjatuhkan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain insiden kekecohan ketika satu acara rasmi parti.

Tun Faisal juga memberi bayangan bahawa parti mungkin mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Wan Saiful dan Wan Fayhsal berikutan beberapa kenyataan mereka yang didakwa berunsur fitnah.

“Ada beberapa dakwaan dibuat Wan Saiful dan Wan Fayhsal yang tidak benar serta merupakan satu fitnah kepada parti. Mungkin saya cadangkan parti mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Pemecatan Wan Saiful dan penggantungan Wan Fayhsal baru-baru ini menandakan peningkatan ketegangan dalaman Bersatu, ketika parti itu berdepan cabaran mengukuhkan barisan kepimpinan dan kesetiaan anggota menjelang PRU akan datang.

Anda Mungkin Berminat