PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, disarankan agar menghentikan kritikan tidak berasas terhadap Kerajaan Madani yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari, tampil menjelaskan bahawa jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober depan bukan dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai sebuah negara tetapi atas peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
“Beliau (Tun Mahathir) menyeru Perdana Menteri supaya membatalkan jemputan yang diberikan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur.
“Pertama sekali, Mahathir seharusnya maklum bahawa jemputan tersebut bukan dibuat atas kapasiti Malaysia sebagai sebuah negara tetapi atas peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menurut Taufiq, kehadiran Trump ke sidang tersebut membuka ruang terbaik untuk Perdana Menteri menyampaikan secara langsung pendirian Malaysia berhubung tragedi genosid di Gaza.
“Perdana Menteri Anwar sejak sekian lama jelas berpihak kepada perjuangan rakyat Palestin, malah sebelum ini turut menyuarakan pendirian tersebut kepada Presiden AS ketika itu, Joseph Biden, semasa Sidang Kemuncak APEC pada November 2023,” ujarnya.
Tambah beliau, meskipun Malaysia perlu berurusan dengan Amerika Syarikat sebagai sekutu utama Israel, pendirian negara tetap teguh menentang kekejaman rejim haram Israel terhadap rakyat Palestin.
“Mahathir sendiri sepatutnya sedar bahawa ini merupakan sebahagian penting daripada penglibatan diplomatik,” tegasnya.
Taufiq turut menekankan bahawa isu yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN bukan hanya berkisar kepada penindasan dan ketidakadilan Israel tetapi turut melibatkan perkara lain yang berkaitan dengan Trump dan negara-negara ASEAN.
“Isu yang paling ketara adalah tarif perdagangan yang dikenakan pentadbiran Trump pada awal tahun ini.
“Kini menjadi sebahagian daripada rundingan penting yang memberi kesan kepada ekonomi rantau ini,” katanya.
Sebelum ini, Tun Dr Mahathir menerusi satu rakaman video telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar agar membatalkan jemputan kepada Presiden AS, Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Oktober depan.