Tun Mahathir jalani fisioterapi tanpa pembedahan di IJN

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan masih dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh pada 6 Januari lalu di rumahnya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Sufi Yusoff daripada Pejabat Dr. Mahathir menerusi satu kenyataan ringkas pada Sabtu di laman instagram Dr Mahathir.

Menurutnya, hasil perbincangan daripada para pakar doktor dari IJN, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bahawa negarawan itu perlu menjalani rawatan fisioterapi dan tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya.

“Mengambil kira faktor usia Tun Dr Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir bersama keluarga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dan sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

”Tun Dr Mahathir dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau,” ujarnya.

Buat masa ini juga katanya, Dr Mahathir tidak dibenarkan menerima pelawat dan hanya keluarga terdekat sahaja yang boleh bertemu serta melawat beliau.

Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir disahkan mengalami patah tulang pada bahagian pinggul kanan selepas menjalani pemeriksaan perubatan susulan insiden terjatuh di kediamannya pada 6 Januari.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat