Tun Mahathir Kembali Dirawat di IJN Selepas Cuti Rawatan di Rumah

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dibenarkan menjalani cuti rawatan di rumah selama dua hari berikutan tahap pemulihan yang memuaskan.

Setiausaha Akhbar beliau, Sufi Yusoff berkata, pasukan perubatan IJN berpuas hati dengan perkembangan kesihatan bekas Perdana Menteri itu serta respons positif terhadap rawatan dan fisioterapi yang dijalani.

“Hari ini genap sebulan Tun Dr Mahathir dirawat dan sejak dua hari lalu, pada 4 dan 5 Februari, beliau dibenarkan menjalani ‘home leave’ iaitu pulang dan bermalam di kediaman beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sufi, Tun Dr Mahathir kembali ke IJN pagi ini bagi meneruskan rawatan serta menjalani pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.

“Walaupun dibenarkan pulang secara berperingkat, beliau masih berada di bawah pemerhatian pasukan perubatan IJN,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Tun Dr Mahathir dan keluarga merakamkan penghargaan atas keprihatinan serta doa orang ramai yang berterusan mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

Dalam pada itu, pasukan perubatan masih menasihatkan Tun Dr Mahathir agar tidak menerima sebarang pelawat buat masa ini, kecuali ahli keluarga terdekat.

Tun Dr Mahathir, yang kini berusia 100 tahun, dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu selepas dilaporkan terjatuh di kediamannya di The Mines, Seri Kembangan dan disahkan mengalami patah pada bahagian pinggul kanan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat