Mahathir Mohon Maaf Tinggal Program Piknik Lebih Awal, Terlalu Letih

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf kepada para hadirin kerana tidak dapat bersama hingga akhir dalam Program Piknik dan Potluck yang berlangsung semalam di Tasik Putrajaya, bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dalam satu hantaran yang dikongsi di Facebook, beliau menjelaskan keadaan kesihatannya yang menyebabkan beliau terpaksa berehat dan mendapatkan rawatan di hospital.

“Saya mohon maaf kerana semalam (Ahad) saya tak dapat bersama di waktu kita ada piknik yang mana ribuan yang hadir kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat.

“Doktor minta saya ke hospital dan kemudian dibenarkan untuk pulang.

“Sekarang saya dah pulih setelah dirawat oleh doktor dan saya boleh teruskan cara hidup saya lah iaitu bekerja.

“Saya harap dimaafkan kerana tidak dapat bersama-sama semasa piknik semalam,” katanya.

Program yang berlangsung pada 13 Julai itu diadakan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-100 Tun Mahathir pada 10 Julai lalu serta ulang tahun ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Beliau tiba seawal 7.45 pagi dan sempat mengayuh basikal secara tandem mengelilingi tasik sejauh kira-kira lapan hingga sembilan kilometer sebelum dilaporkan keletihan.

Walaupun terpaksa beredar sekitar pukul 10 pagi, Mahathir sempat beramah mesra dan bergambar bersama para pengunjung yang hadir.

Lebih 500 orang dari pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan acara santai itu dengan membawa juadah masing-masing untuk bersarapan bersama di tepi tasik.

Anda Mungkin Berminat