Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Lontaran serta pandangan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkait isu politik terkini tidak lagi relevan serta wajar dijadikan bahan rujukan mahupun saranan.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Syed Osman menyatakan perkara itu menerusi satu kenyataan media hari ini ekoran kenyataan terbaharu Tun Mahathir yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaga figura imuniti yang boleh membunuh sesuka hati dengan kekebalan sambil menyifatkan tohmahan itu sebagai dangkal dan di luar konteks sebenar.
“Hakikatnya, Anwar bukan memohon kekebalan mutlak, sebaliknya beliau memfailkan semakan terhadap saman sivil Yusof Rawther bagi memastikan kes ini tidak menjejaskan keupayaannya sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Tegas beliau, Perdana Menteri sepanjang perjalanan hidupnya telah melalui pelbagai cabaran dan keluar masuk penjara, maka dengan itu kes saman sivil seperti itu tidak akan mampu menggoyahkan beliau.
“Bagaimanapun, kes ini perlu diteliti dengan cermat bagi memastikan ia tidak menjejasan fungsi beliau sebagai Perdana Menteri,” ujarnya.
Sehubungan itu, Tun Mahathir sepatutnya lebih memahami perkara ini kerana beliau sendiri secara dua kalinya menjadi Perdana Menteri.
Syed Badli turut mengimbau kembali ketika mana era pemerintahan Tun Mahathir, ramai pemimpin yang tidak sehaluan dengan pentadbirannya telah ditangkap dan dipenjarakan.
“Apatah lagi jika ada individu yang menyaman Perdana Menteri seperti ini, saya kira sudah dilenyapkan dan dipenjara,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, Anwar kekal bersiap siaga untuk menghadapi saman ini, namun perlu dipastikan bahawa ia tidak mengganggu fungsi beliau sebagai Perdana Menteri yang turut boleh memberi kesan kepada prestasi negara.
Dengan itu, beliau menyeru kepada bekas Perdana Menteri dua kal itu, untuk berehat dan kekal bertenang kerana zaman relevannya dalam medan politik negara sudah berakhir.
Sebelum ini, Tun Mahathir menerusi laman sosialnya menyatakan kritikan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung langkahnya untuk mendapatkan imuniti dalam satu saman sivil yang sedang berjalan.