Tun Md Raus Dilantik Ketuai Siasatan Bebas Isu Pemain Warisan Harimau Malaya

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif untuk mengetuai jawatankuasa bebas yang akan menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, pelantikan itu dilihat sebagai langkah tegas FAM untuk memastikan siasatan dijalankan secara adil, telus dan profesional tanpa sebarang campur tangan dalaman.

“Jawatankuasa bebas tersebut akan beroperasi secara autonomi dan dianggotai individu luar yang dilantik oleh Tun Md Raus sendiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tun Md Raus bukan nama asing dalam dunia kehakiman negara, sejak menyertai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan pada tahun 1976, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk Majistret, Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-undang di beberapa kementerian serta negeri.

Karier beliau terus melonjak apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1994, Hakim Mahkamah Tinggi pada 1996 dan akhirnya menyandang jawatan tertinggi sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 2017.

Di peringkat serantau, Tun Md Raus pernah mengetuai Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Setaraf serta menjadi ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (CACJ), yang memperkukuh kerjasama kehakiman antara negara-negara Asia Tenggara.

Menurut beliau, pelantikan beliau dibuat atas keyakinan terhadap pengalaman luas dan integriti tinggi yang dimilikinya.

“Pengalaman dan integriti tinggi Tun Md Raus diyakini mampu memastikan hasil siasatan dibuat secara menyeluruh dan berlandaskan fakta yang sahih,” katanya.

Anda Mungkin Berminat