Tun Musa Aman Terima Watikah Pelantikan Sebagai Canselor UMS

KOTA KINABALU: Dalam satu majlis penuh istiadat dan penghormatan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Ahad menyerahkan Watikah Perisytiharan Pelantikan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Aman.

Pelantikan itu menandakan satu detik bersejarah buat UMS, selaras dengan Subseksyen 10(1) Perlembagaan universiti yang menetapkan bahawa Canselor merupakan Ketua Universiti dan bertanggungjawab mempengerusikan majlis Konvokesyen.

Dalam ucapannya, Dr Zambry menzahirkan rasa hormat dan penghargaan atas kepercayaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Tun Musa Aman sebagai Canselor UMS.

Kementerian Pendidikan Tinggi turut menyatakan keyakinan bahawa pelantikan itu akan memperkukuh kepimpinan tertinggi UMS dalam memacu agenda pendidikan tinggi negara.

Fokus utama termasuk memperkasa kecemerlangan akademik, memperluas penyelidikan dan inovasi serta mempertingkat pembangunan modal insan di Sabah dan Malaysia secara keseluruhan.

Majlis penyerahan Watikah yang berlangsung di Kota Kinabalu turut disaksikan oleh barisan kepimpinan kementerian, pengurusan tertinggi UMS serta jemputan rasmi.

Anda Mungkin Berminat