Tun Wan Junaidi Simbol Keharmonian Kaum, Agama Di Bumi Kenyalang

KUCHING: Dalam suasana penuh syukur dan semangat perpaduan, Sambutan Hari Lahir ke-79 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar disambut dengan satu majlis yang cukup bermakna pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain yang buat pertama kalinya dihadiri oleh Ketua Negeri sendiri.

Majlis yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Kuching itu bukan sekadar meraikan ulang tahun kelahiran tetapi menjadi pentas simbolik kepada keharmonian antara kaum dan agama yang menjadi nadi kekuatan Sarawak.

Dalam ucapan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang dibacakan oleh Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, beliau menzahirkan penghargaan terhadap jasa Tun Wan Junaidi yang telah lama menjadi benteng keselamatan dan kedaulatan negeri.

“Tun Wan Junaidi sentiasa menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang dan pegangan agama.

“Malah, beliau sering berusaha menjalin hubungan erat dengan semua ketua agama di Sarawak,” katanya.

Dedikasi Tun Wan Junaidi terhadap nilai inklusif bukanlah sesuatu yang baharu, apabila sejurus selepas pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Negeri pada 7 Januari 2024, beliau telah menganjurkan jamuan makan malam yang menghimpunkan semua ketua agama di Sarawak.

Sepanjang kerjaya awamnya termasuk ketika memegang jawatan sebagai Menteri Persekutuan bagi Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tun Wan Junaidi telah membantu pembinaan rumah ibadat seperti gereja dan tokong di kawasan parlimennya.

Beliau juga kerap menjemput pemimpin pelbagai agama ke majlis rasmi di Astana Negeri termasuk Majlis Berbuka Puasa dan Rumah Terbuka Aidilfitri.

“Tun dan Toh Puan sering turun padang, beramah mesra bersama rakyat di pasar serta menikmati sarapan di kopitiam, menggambarkan sikap rendah diri dan kasih terhadap rakyat jelata,” tambahnya.

Majlis malam tadi turut dimulakan dengan upacara doa kesyukuran yang dipimpin oleh wakil daripada agama Kristian, Hindu, Sikh, Tao, Buddha dan Baha’i.

Kerajaan Sarawak juga terus menunjukkan komitmen terhadap perpaduan melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan peruntukan sebanyak RM475 juta bagi projek rumah ibadat dan RM90 juta kepada sekolah mubaligh.

Kehadiran Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada majlis tersebut memberi makna besar kepada usaha memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Majlis turut diserikan dengan persembahan khas daripada pertubuhan-pertubuhan pelbagai agama, menjadikan sambutan ini bukan sahaja bersejarah, tetapi juga menyentuh jiwa.

Sambutan Hari Lahir TYT diteruskan pada Sabtu dengan Istiadat Perbarisan Rapat Raksasa, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak dan Majlis Jamuan Negeri.

Anda Mungkin Berminat