PARLIMEN | Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini berdepan tunggakan bil elektrik berjumlah RM61 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), melibatkan 198 akaun setakat 30 Jun lalu.
Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan tunggakan bil elektrik di negeri Kelantan yang mencecah RM229 juta, membabitkan 492,174 akaun pengguna.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengguna domestik mencatatkan jumlah tunggakan tertinggi iaitu sebanyak RM114 juta, melibatkan 411,780 akaun.
Sementara itu, katanya, pengguna bukan domestik yang merangkumi sektor komersial dan industri pula mencatatkan tunggakan sebanyak RM53 juta daripada 80,196 akaun.
“Daripada jumlah tersebut, pengguna domestik merekodkan tunggakan tertinggi iaitu RM114 juta melibatkan 411,780 akaun, diikuti pengguna bukan domestik (komersial dan industri) sebanyak RM53 juta daripada 80,196 akaun,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Zahari Kechik (PN–Jeli) berhubung jumlah akaun pengguna yang gagal membayar tunggakan bil elektrik di Kelantan sejak tahun 2024.
Fadillah turut memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan tunggakan di negeri itu menunjukkan penurunan sebanyak RM4.33 juta berbanding 31 Disember 2024, menandakan sedikit kemajuan dalam usaha pemulihan.
Bagi membantu pengguna yang terkesan, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama TNB telah menawarkan pelan bayaran ansuran fleksibel serta mempergiatkan program kesedaran berkaitan kepentingan pembayaran bil.
“Tindakan pemotongan bekalan elektrik hanya dilakukan sebagai langkah terakhir selepas semua rundingan gagal.
“Pengguna dinasihatkan segera berhubung dengan TNB bagi mengelak pemotongan atau tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam usaha mengurangkan risiko tunggakan, beliau turut menyarankan agar pemilik premis menukar nama akaun kepada penyewa supaya tanggungjawab pembayaran dipikul oleh pengguna sebenar.