Tunku Ismail Titah Gejala Buli Segera Dibendung

JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar gejala buli di institusi pendidikan dibendung segera melalui penguatkuasaan yang lebih ketat, demi menjamin keselamatan murid.

“Gejala buli harus dibendung segera dengan langkah penguatkuasaan lebih ketat bagi memastikan setiap institusi pendidikan menjadi kawasan yang selamat untuk kanak-kanak,” titah baginda.

Titah tersebut dizahirkan selepas baginda melawat Izzul Islam Azuan Isaidi, 10, yang kini dirawat di Hospital Pakar Puteri KPJ akibat menjadi mangsa buli sehingga mengalami gegaran otak.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Tunku Ismail.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Asman Shah Abd Rahman serta pemain bola sepak JDT, Arif Aiman.

Ibu mangsa, Siti Suhana Misdi, 39, memaklumkan bahawa anaknya kini menunjukkan kemerosotan daya ingatan yang dipercayai berpunca daripada dua insiden buli berasingan.

“Dia kerap lupa dan hilang fokus, malah perkara mudah seperti mengambil kain di dapur pun boleh dilupakannya,” katanya.

Menurut Siti Suhana, kejadian pertama berlaku pada 21 Februari lalu di sebuah sekolah agama.

Ketika itu, anaknya dipukul, ditendang, dihentak kepala dan dipaksa berbogel oleh seorang murid darjah enam yang berang kerana cintanya ditolak oleh kakak mangsa.

Akibat insiden tersebut, Izzul Islam, anak keempat daripada enam beradik sering mengadu sakit kepala dan menjadi lemah, sebelum pihak hospital mengesahkan beliau mengalami gegaran otak.

Lebih menyedihkan, mangsa sekali lagi dibuli pada 7 Ogos lalu di sebuah sekolah kebangsaan di Skudai sehingga menyebabkan keadaan kesihatannya semakin membimbangkan.

Anda Mungkin Berminat