ISKANDAR PUTERI: Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada Selasa berkenan berangkat ke Majlis Pecah Tanah Gym Khabib yang berlangsung di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), Iskandar Puteri.
Majlis bersejarah itu menandakan permulaan kepada pembangunan sebuah pusat kecergasan bertaraf antarabangsa yang bakal menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sukan negeri Johor.
Turut mengiringi baginda ialah YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, yang bersama-sama meluangkan masa santap tengah hari bersama Khabib Nurmagomedov, bekas Juara Dunia UFC Kategori Lightweight.
Kehadiran Khabib sebagai tetamu kehormat menyerlahkan lagi komitmen Johor dalam memperkukuh pembangunan sukan bertaraf global.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Asman Shah Abd. Rahman, EXCO Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah serta dua ikon sukan antarabangsa yang juga Duta Sukan Johor iaitu Datuk Seri Lee Chong Wei dan Sonny Bill Williams.
Sebelum majlis pecah tanah berlangsung, Khabib turut mengadakan lawatan ke Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), di mana beliau dibawa meninjau fasiliti-fasiliti milik kelab berprestij itu termasuk Stadium Sultan Ibrahim, Ibu Pejabat JDT dan pusat jualan rasmi JDT Direct.
Kehadiran Khabib sebagai Duta Sukan Johor bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa dalam bidang sukan, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus menjadikan kecergasan dan disiplin sebagai asas kejayaan.








