Tunku Panglima Johor Juara GT World Challenge Asia, PM Ucap Tahniah

PETALING JAYA: Prestasi membanggakan dipamerkan oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim apabila beliau muncul juara dalam perlumbaan kedua GT World Challenge Asia yang berlangsung hari ini.

Turut menyerlah ialah Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim yang menamatkan perlumbaan pertama semalam di kedudukan ketiga, sekali gus mengangkat nama Johor dan Malaysia di pentas sukan antarabangsa.

Perlumbaan berprestij itu menjadi medan kepada kedua-dua putera diraja Johor mempamerkan keupayaan luar biasa dengan pemanduan mantap, strategi bijak dan semangat juang tinggi yang mengagumkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyampaikan ucapan tahniah atas kejayaan tersebut dan menyifatkannya sebagai pencapaian yang memberi harapan serta inspirasi kepada generasi muda.

“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan rakyat Johor dan Malaysia, malah menjadi inspirasi kepada anak muda negara untuk terus melangkah jauh dalam bidang permotoran,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

GT World Challenge Asia merupakan antara kejohanan permotoran paling berprestij di rantau ini, menghimpunkan pelumba profesional dari Asia dan Eropah yang menjadikan kemenangan ini lebih bermakna buat negara.

Kejayaan Tunku Abdul Rahman dan Tunku Abu Bakar sekali gus memperkukuh reputasi mereka sebagai pelumba muda yang berpotensi besar, hasil gabungan bakat semula jadi, latihan intensif dan sokongan padu dari rakyat Johor.

Foto kejayaan yang dimuat naik oleh pasukan RPO turut tular di media sosial, dihujani ucapan tahniah daripada peminat sukan tempatan dan komuniti permotoran antarabangsa.

Anda Mungkin Berminat