PETALING JAYA: Tindakan Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta serta permohonan maaf daripada Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi disifatkan sebagai langkah melampau dan cubaan membungkam suara anak muda yang berani mempertahankan maruah negara.
Dalam kenyataan media hari ini, Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohamad Shahrul Adnan melahirkan rasa kesal terhadap tindakan tersebut, yang menurutnya tidak mencerminkan semangat demokrasi yang sihat.
Shahrul menjelaskan bahawa teguran yang dibuat oleh Nabil merupakan maklum balas terhadap penghinaan terbuka oleh Ahli Parlimen Pasir Mas berhubung hantaran karikatur yang memperlekeh usaha diplomatik Malaysia dalam rundingan damai Thailand–Kemboja.
“Usaha ini dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar selaku Pengerusi ASEAN serta merupakan misi penting membawa nama baik negara di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, dalam sistem demokrasi, kritikan terhadap tindakan yang merendahkan imej negara bukanlah satu jenayah atau fitnah, sebaliknya hak rakyat untuk bersuara demi mempertahankan integriti nasional.
“Cubaan mengugut melalui tuntutan kewangan yang melampau hanya akan melemahkan budaya politik sihat dan memberi isyarat bahawa suara anak muda boleh dibungkam,” ujarnya.
Sehubungan itu, AMK Selangor menegaskan bahawa status sebagai Ahli Parlimen tidak seharusnya menjadi alasan untuk menakut-nakutkan golongan muda daripada bersuara.
Menurut Shahrul, generasi muda hari ini tidak gentar untuk melontarkan kebenaran dan akan terus bersuara menegur mana-mana pihak yang cuba merendahkan peranan serta mencemarkan imej negara.
“AMK Selangor berdiri teguh di belakang Nabil Halimi dan menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan fahaman politik, untuk menolak budaya politik ugutan.
“AMK Selangor akan terus mempertahankan hak bersuara yang rasional, beradab dan berlandaskan kepentingan negara demi maruah Malaysia di mata dunia,” tegasnya.








