KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Malaysia tidak akan berdiam diri dalam usaha membebaskan sembilan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Zionis Israel.
Dalam satu kenyataan, beliau turut memaklumkan bahawa Türkiye sekali lagi memberi jaminan untuk membantu dalam usaha pembebasan tersebut.
“Kerajaan Türkiye sekali lagi telah memberi jaminan akan terus membantu membebaskan sembilan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Zionis Israel.
“Buat semua ahli keluarga yang menanti dengan doa dan air mata, percayalah, negara bersama kalian.
“Anak-anak Malaysia yang berani ini bukan sekadar sukarelawan berjiwa murni, mereka adalah wira kemanusiaan yang membawa nama negara ke tengah lautan perjuangan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan sesekali tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang menuntut keadilan dan pembebasan mereka.
“Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada anak-anak Malaysia menempuhi cabaran ini dan mempermudahkan setiap langkah urusan pembebasan mereka,” katanya.
Penahanan sembilan rakyat Malaysia berlaku pada 8 Oktober apabila kapal yang mereka naiki dalam misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) dipintas oleh tentera Israel kira-kira 120 batu nautika dari perairan Gaza.
Misi tersebut bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan rejim Zionis.
Delegasi Malaysia terdiri daripada tokoh akademik, pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan, termasuk Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Syafik Shukri Abdul Jalil.
Seorang lagi wakil Malaysia, Dr Maziah Muhammad, berada di kapal berasingan bernama Umm Saad.
Rakaman video kecemasan yang dimuat naik oleh Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menunjukkan Dr Maziah menyatakan bahawa mereka telah ‘diculik secara haram oleh Israel’ dan menyeru rakyat Malaysia serta masyarakat antarabangsa untuk memberi tekanan kepada rejim Zionis agar menghentikan penahanan dan genosid di Gaza.
Misi flotilla ini disertai lebih 150 peserta dari 25 negara dan berlepas dari Itali pada akhir September.
Ia merupakan gelombang ketiga selepas dua misi terdahulu turut menyaksikan penahanan aktivis termasuk Greta Thunberg oleh tentera Israel.
Malaysia kini giat menjalankan usaha diplomatik dan tekanan antarabangsa bagi memastikan kesemua aktivis dibebaskan segera dan selamat.








