PETALING JAYA: Himpunan ‘Turun Anwar’ disifatkan sebagai usaha terdesak untuk mengaburi kegagalan blok pembangkang dalam menawarkan idea konkrit bagi menangani isu rakyat, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar.
“Apa yang ditawarkan ketika berdemo hanyalah momokan, fitnah dan seruan emosi tanpa fakta, tanpa dasar, tanpa pelan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Mahfuz, tindakan segelintir pemimpin pembangkang menggunakan pentas politik bagi menyeru penggulingan Perdana Menteri atas nama agama dan moral adalah amat tidak wajar.
“Saya terpanggil untuk menegur sikap pemimpin pembangkang yang menggunakan pentas politik dengan retorik kebencian, menyeru rakyat agar menggulingkan Perdana Menteri kononnya atas nama agama dan moral.
“Ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan sosial serta ancaman keselamatan negara,” katanya.
Mahfuz turut menyatakan pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan kerajaan antaranya bantuan tunai STR dan SARA diteruskan dan ditambah baik, subsidi diesel bersasar menjimatkan bilion ringgit bagi pendidikan, kesihatan dan pertanian.
Antara lain lagi katanya termasuk pelaburan asing meningkat, penciptaan kerja diperkukuh dan nilai ringgit mengukuh, ekonomi kekal stabil
“Bantuan tunai STR dan SARA diteruskan dan ditambah baik.
“Subsidi diesel bersasar berjaya menjimatkan bilion ringgit untuk digunakan semula bagi pendidikan, kesihatan dan pertanian.
“Pelaburan asing meningkat, peluang pekerjaan dicipta, mata wang RM mengukuh dan ekonomi negara kekal stabil,” ujarnya.
Mahfuz turut menempelak retorik agama yang digunakan untuk menghalalkan demonstrasi.
“Ini bukan jihad, ini adalah jahat, kerja memecahbelahkan rakyat dengan fitnah kebencian dan permusuhan.
“Islam tidak pernah mengajar kita menjatuhkan pemerintah yang sah secara liar, fitnah dan hasutan provokatif,” tegas beliau.
Beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, untuk menolak politik perpecahan.
“Kemenangan sebenar bukan menjatuhkan pemimpin tetapi menaikkan martabat rakyat,” ujarnya.