SHAH ALAM: Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam malam ini bertukar kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan dasar.
Kekecohan tercetus di bahagian tengah dewan dipercayai melibatkan perwakilan yang tidak berpuas hati. Keadaan memaksa pasukan keselamatan parti segera campur tangan bagi menenangkan suasana.
Insiden itu berlaku selepas Muhyiddin menyentuh mengenai dakwaan terdapat usaha mengutip tandatangan untuk menjatuhkan presiden parti, yang menurutnya bercanggah dengan perlembagaan Bersatu.
Ketika itu, sebahagian hadirin melaungkan “Turun Tan Sri”, manakala kumpulan lain bangun mempertahankan beliau dengan sorakan “Hidup Tan Sri”.
Pertikaman lidah antara dua kumpulan itu mencetuskan suasana panas dan menjejaskan tumpuan terhadap ucapan Presiden. Malah, usaha Pengerusi Tetap, Mohd Suhaimi Abdullah meredakan keadaan juga tidak diendahkan oleh sebahagian perwakilan.
Bagaimanapun, keadaan kembali terkawal selepas beberapa minit dan Muhyiddin meneruskan ucapan dasarnya yang menyentuh isu perpaduan dalaman parti serta hala tuju Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).
Dalam sidang media selepas majlis, Muhyiddin berkata beliau tidak menyedari sepenuhnya kekecohan yang berlaku kerana sedang menumpukan perhatian pada teks ucapannya.
“Saya tak berapa pasti. Saya di atas pentas tengah fokus pada ucapan saya, jadi tak jelas apa berlaku. Tapi Alhamdulillah tidak sampai mencetuskan huru-hara. Pihak kita akan dapatkan laporan daripada pegawai sama ada ia melibatkan perwakilan atau bukan,” katanya.
Beliau menegaskan insiden itu tidak menjejaskan perjalanan PAT Bersatu sehingga ke penutup majlis.
Baca juga: