TVET, STEM Kunci Ketahanan Ekonomi Negara – Dr Taufiq

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari tampil menyokong penuh seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkukuhkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

Menurut beliau, langkah itu dilihat sebagai kunci untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing di peringkat global.

Katanya, usaha memperkasa TVET dan STEM, terutamanya dalam kejuruteraan, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan adalah langkah penting untuk membina kemajuan negara.

“Malaysia tidak boleh terus terperangkap dalam perbalahan yang memecahbelahkan rakyat.

“Sebaliknya, kita mesti bersatu dalam misi membina kemakmuran bersama berteraskan ilmu dan inovasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menekankan bahawa perubahan dalam pasaran pekerjaan global sedang berlangsung dengan pantas.

Menjelang 2025, katanya, sekurang-kurangnya 50 peratus pekerja global memerlukan pemerkasaan semula kemahiran (reskilling), sementara 85 juta pekerjaan berisiko digantikan oleh teknologi baharu.

Dr Taufiq berkata, langkah kerajaan memperkenalkan program microcredentials dan memperkasakan institusi TVET turut dipuji sebagai usaha berwawasan.

Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai strategik dalam membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

“Pelaburan dalam potensi rakyat adalah masa depan negara.

“Kita mesti berani bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas dan tindakan yang berkesan,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan komitmennya terhadap pendidikan teknikal dan STEM terutamanya dalam meningkatkan akses kepada belia luar bandar.

“Langkah kerajaan untuk memperkasa institusi TVET melalui program microcredentials dan memperluas kerjasama dengan industri adalah amat strategik dalam meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan bahawa tumpuan kepada TVET dan STEM penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam era revolusi industri baharu.

Beliau berkata, kekuatan dalam kedua-dua bidang itu adalah kunci untuk meningkatkan daya saing dan memastikan kemakmuran masa depan negara.

Anda Mungkin Berminat