Tze Yong mungkin beraksi Januari 2025

PEMAIN perseorangan lelaki, Ng Tze Yong memerlukan masa untuk kembali beraksi bagi mendapatkan semula keyakinan lamanya yang hilang selepas berdepan situasi luar jangka.

Pemain berusia 24 tahun itu dilaporkan masih belum bersedia untuk kembali ke latihan sepenuhnya selepas menjalani dua pembedahan belakang pada Februari dan April lalu yang turut menidakkannya untuk menyertai sebarang kejohanan tahun ini.

Pengarah kejurulatihan negara, Rexy Mainaky berkata bantuan jurulatih penting dalam memberi motivasi kepada Tze Yong mendapat semula keyakinannya.

“Sasaran ketika ini adalah untuk Tze Yong bertanding semula pada Januari. Dia telah mencuba segala-galanya (untuk kembali cergas sepenuhnya) dan keadaannya menunjukkan semakin pulih tetapi keyakinan terhadap dirinya masih belum kembali normal.

“Ini adalah proses yang sukar dan jurulatih perlu memberi motivasi dalam membantunya mendapatkan semula keyakinan diri.

“Sudah lama dia tidak menjalani latihan intensiti tinggi dan ini pasti akan memberi kesan. Buat masa ini, dia masih tidak boleh berlatih sepenuhnya,” kata Rexy kepada media, semalam.

Sebelum ini, Tze Yong mengalami kecederaan belakang pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, Januari lalu. Dia cuba untuk beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dan bermain hanya satu perlawanan sebelum kecederaan itu menghantuinya semula.

Susulan itu, dia menjalani dua pembedahan menyebabkannya tidak dapat menyertai mana-mana kejohanan sekali gus memusnahkan hasrat melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Anda Mungkin Berminat