Ucapan, Angpau Dan Jamuan Halal Dibenar, Mufti WP Perjelas Garis Panduan Sambutan Tahun Baharu Cina

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Umat Islam dibenarkan mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina, bertukar hadiah termasuk memberi ‘angpau’ serta menghadiri jamuan makan selagi tidak melibatkan ritual keagamaan, jelas Mufti Wilayah Persekutuan (WP), Ahmad Fauwaz Fadzil.

Beliau berkata, Islam mengiktiraf kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia, malah menggalakkan hubungan silaturahim yang harmoni antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam.

“Islam tidak melarang umatnya berbuat baik dan berlaku adil kepada mereka yang tidak memusuhi agama.

“Sambutan perayaan boleh menjadi ruang mengukuhkan hubungan sosial,” katanya melalui laman sesawang Tinta Mufti WP.

Menurutnya, amalan seperti memberikan ucapan kesejahteraan umum, bertukar hadiah dan menghadiri jemputan makan adalah harus selagi tidak bercanggah dengan prinsip akidah.

“Menghadiri jamuan atau makan besar dibenarkan dengan syarat makanan yang dihidangkan adalah halal dan tidak melibatkan unsur ritual keagamaan,” katanya.

Dalam pada itu, Fauwaz menekankan kepentingan umat Islam memahami pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan yang berasaskan ilmu, bukan didorong emosi atau prejudis.

“Sikap berhati-hati amat digalakkan, namun ia tidak seharusnya membawa kepada sikap ekstrem sehingga mengharamkan perkara budaya yang asalnya harus.

“Namun, umat Islam dilarang sama sekali menyertai ritual keagamaan, penyembahan nenek moyang atau mempercayai ramalan nasib kerana ia bercanggah dengan tauhid,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan perbezaan antara tasyabbuh iaitu peniruan simbol agama lain dengan niat dan kepercayaan berbanding sekadar persamaan budaya yang tidak membawa maksud mengikut akidah agama lain.

Menurutnya, pendekatan sederhana dan beradab bukan sahaja memelihara kesucian agama, malah membantu memastikan keamanan masyarakat terus terpelihara dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Anda Mungkin Berminat