Ucapan Bersejarah Anwar Di Parlimen Timor-Leste

DILI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakar sejarah pagi ini apabila menyampaikan ucapan rasmi di Parlimen Timor-Leste, menandakan komitmen mendalam terhadap hubungan dua hala yang semakin erat.

Ketibaan beliau pada pukul 8.55 pagi disambut mesra oleh Presiden Parlimen Nasional, Maria Fernanda Lay, sebelum menyampaikan ucapan pada pukul 9 pagi.

Momen itu dianggap sebagai penghormatan istimewa yang mencerminkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Lawatan ini membawa makna besar bukan sahaja untuk Malaysia dan Timor Leste tetapi juga untuk rantau ini.

“Ia membuktikan kesungguhan kita dalam memperkukuh kerjasama strategik,” katanya.

Selepas ucapan bersejarah itu, Anwar dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão di Istana Kerajaan pada pukul 10 pagi.

Pertemuan tersebut akan disusuli dengan majlis menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) serta sidang media bersama pada pukul 11 pagi.

Agenda penting seterusnya ialah pelancaran projek pembangunan Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) di Pelabuhan Dili pada pukul 11.30 pagi, satu inisiatif yang dijangka memperkukuh kapasiti Timor-Leste dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa dan membuka peluang ekonomi baharu.

Maria Fernanda Lay turut menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan berterusan sejak awal kemerdekaan Timor-Leste, menandakan hubungan yang bukan sahaja bersifat diplomatik tetapi juga berteraskan solidariti dan sejarah bersama.

Lawatan rasmi ini berlangsung atas jemputan sahabat lama Anwar sendiri, Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, dan menjadi simbol ikatan persahabatan yang terus berkembang antara dua negara serantau.

Anda Mungkin Berminat