DILI: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan ucaptama dalam siri berprestij ‘Presidential Lecture’ di Istana Presiden Timor-Leste pada Rabu pukul 4 petang bersempena lawatan rasmi beliau ke negara jiran itu.
Dalam satu hantaran di Facebook yang dikongsi, beliau berkata, platform tersebut digunakan sebagai ruang strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala dan membincangkan isu-isu yang merentasi sempadan.
“Program ini menjadi wadah penting untuk berkongsi pandangan mengenai hubungan dua hala, kerjasama serantau serta isu-isu global yang mendasari kepentingan bersama,” katanya.
Ucapan itu dijangka menyentuh pelbagai aspek termasuk kerjasama ekonomi, pembangunan inklusif dan peranan ASEAN dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim, ketidaksamaan dan geopolitik serantau.
Siaran langsung ucaptama itu boleh ditonton di RTM hari ini dan seterusnya memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengikuti secara langsung wacana yang berpotensi membentuk hala tuju diplomatik dan solidariti serantau.








